Pembunuhan di Seri Tanjung
Berita asal dari BERITA HARIAN:
Bakal sarjana mati ditikam bekas teman lelaki
Oleh Azmi Md Deros dan Fazallah Pit
TRAGEDI: Puziah Hassan, (dua dari kanan) berada di pusara anaknya, Norzi Ayu Md Noor (gambar kecil) yang mati selepas ditikam dua kali di perutnya oleh seorang lelaki di rumah sewanya di Flet Sri Tanjung, Bandar Baru Bangi, kira-kira jam 3 petang, kelmarin. Norzi Ayu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lipat Kajang, Klang. – Gambar oleh Salim Shaari
KAJANG 27 Julai 2004: Seorang gadis, yang bakal menerima Ijazah Sarjana Biologi Genetik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bulan depan, mati selepas dipercayai ditikam oleh bekas teman lelakinya di Bangi, petang kelmarin.
Norzi Ayu Md Noor, 27, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 8.15 malam kelmarin selepas ditikam dua kali di perutnya oleh seorang lelaki berusia 23 tahun di rumah sewanya, Flet Sri Tanjung, Bandar Baru Bangi, kira-kira jam 3 petang.
Lelaki itu dikatakan bertindak demikian apabila tidak dapat menerima hakikat Norzi Ayu akan bertunang dengan jejaka pilihannya tidak lama lagi.
Norzi Ayu, yang bekerja sebagai Pegawai Penyelidik Perubatan di Institut Penyelidikan Malaysia (IMR) Kuala Lumpur dikatakan menolak cinta lelaki itu yang tidak direstui keluarganya.
BEKAS teman lelaki Norzi Ayu dibawa polis ke tempat dia membuang senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa di sungai Langat berhampiran Seksyen Tujuh Bandar Baru Bangi. – Gambar oleh Yahaya Zain
Berikutan itu, polis menahan seorang bekas pelajar UKM yang baru menamatkan pengajian peringkat ijazah bagi membantu siasatan. Lelaki itu dikatakan amat meminati Norzi Ayu dan mereka sama-sama menyertai silat gayung sebagai aktiviti kokurikulum di UKM.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II Abu Bakar Mustaffa, berkata polis tidak menolak kemungkinan cemburu menjadi antara motif pembunuhan itu.
Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 3 petang kelmarin apabila teman lelaki Norzi Ayu menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang memberitahu mangsa dalam kecemasan.
Wanita berkenaan yang berada di tingkat bawah flet itu menemui satu cebisan kertas mempunyai nota, dibaling oleh mangsa meminta orang ramai menghubungi lelaki berkenaan kerana dia dalam kecemasan.
“Sebaik menerima panggilan telefon itu, lelaki berusia 31 tahun itu bergegas ke rumah mangsa dan apabila masuk dia mendapati seorang lelaki sedang memaut leher Norzi Ayu.
“Lelaki itu cuba memujuk suspek, tetapi dia menarik mangsa ke dalam sebuah bilik. Selepas kira-kira setengah jam, lelaki itu dapat membuka pintu bilik dan mendapati Norzi Ayu berlumuran darah di perut, manakala suspek melarikan diri.
“Mangsa, yang dihantar ke Hospital Kajang, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 8.15 malam akibat kehilangan darah yang banyak apabila satu daripada tikaman mengenai pembuluh darah utamanya,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Suspek melarikan diri bersama pisau yang digunakan untuk menikam mangsa ke kawasan semak di tepi Sungai Langat, berhampiran Taman Sri Intan kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian, apabila dikejar oleh penduduk di flet itu.
Bagaimanapun, polis dapat menahannya kira-kira jam 8.30 malam kelmarin apabila dia datang ke hospital untuk melawat mangsa.
Kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, lelaki itu membawa polis ke sungai berkenaan dan polis terpaksa mendapatkan bantuan Unit Penyelam Pasukan Bomba dan Penyelamat untuk mengesan pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Namun, selepas dua jam mencari, pisau berkenaan gagal ditemui.
Abu Bakar berkata, suspek yang bekerja di sebuah hotel di sini, ditahan reman selama dua minggu mulai semalam bagi membantu siasatan. Kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Polis, yang turut merampas beberapa barangan daripada suspek, termasuk pakaian seragam silat, masih menyiasat bagaimana dia masuk ke rumah mangsa, tetapi difahamkan tiada kesan diceroboh.
Difahamkan, bedah siasat ke atas mayat mangsa turut menemui cecair badan pada tubuh mangsa dan sampel berkenaan dihantar ke bahagian forensik untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Ditanya sama ada mangsa dirogol sebelum dibunuh, Abu Bakar berkata, beliau enggan membuat sebarang spekulasi kerana belum mendapat laporan bedah siasat yang lengkap.
Polis juga masih belum mendapatkan keterangan daripada lelaki yang membantu mangsa.
Di KLANG, suasana hiba menyelubungi rumah mangsa di Lorong Songket 4, Taman Maznah di sini, semalam apabila saudara dan sahabat-handainya termasuk rombongan dari UKM menziarah sejak tengah hari hingga ketika pengebumian.
Jenazah mangsa tiba di sini kira-kira jam 4 petang dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Lipat Kajang.
BERITA HARIAN
============
Berita asal dari Utusan Malaysia:
ARKIB : 28/07/2004
Pegawai penyelidik perubatan mati dibunuh
Oleh: YAP LEE YING
![]() |
ALLAHYARHAM Norzi Ayu Md. Noor yang mati dibunuh dipercayai ada kaitan dengan konflik cinta tiga segi atau bermotifkan cemburu di Pangsapuri Seri Tanjung, Seksyen 7, Taman Seri Tanjung, Bandar Baru Bangi, semalam. |
Sebelum ditikam dalam kejadian pukul 3 petang itu, Norzi Ayu Md. Noor, 27, dikatakan bertengkar dengan lelaki berkenaan di Pangsapuri Seri Tanjung, Seksyen 7, Taman Seri Tanjung.
Norzi Ayu yang berasal dari Klang, mati di Hospital Kajang akibat dua tikaman pada perutnya.
Siasatan awal polis mendapati kes terbabit dipercayai mempunyai kaitan dengan konflik cinta tiga segi atau bermotifkan cemburu.
Norzi Ayu yang merupakan anak sulung daripada lima beradik dijadual akan menerima Ijazah Sarjana dalam jurusan Bioteknologi Genetik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bulan depan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II Abu Bakar Mustaffa berkata, dalam kejadian semalam, Norzi Ayu yang menetap di Tingkat 1, pangsapuri tersebut didatangi oleh seorang lelaki yang dipercayai dikenalinya.
Bagaimanapun menurut Abu Bakar, berlaku pertengkaran antara kedua-dua mereka dan mangsa telah sempat menulis sekeping nota berupa nombor telefon untuk meminta bantuan.
Katanya, nota yang dicampak oleh mangsa melalui tingkap itu ditemui oleh seorang wanita yang secara kebetulan berada di kawasan itu.
“Wanita itu kemudian menghubungi nombor tersebut dan menceritakan kandungan nota kepada pemilik nombor telefon itu, yang merupakan seorang lelaki berusia 31 tahun dan kenalan kepada mangsa,'' katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Bertindak daripada maklumat itu, lelaki yang dihubungi tersebut berkejar ke tempat kejadian dan tiba di rumah mangsa kira-kira 15 minit kemudian.
Semasa dia memasuki rumah mangsa, suspek kelihatan sedang memegang dan bertindak kasar terhadap Norzi Ayu.
“Lelaki itu gagal memujuk suspek untuk menghentikan tindakannya dan dia (suspek) kemudian menarik mangsa ke dalam sebuah bilik dan mengunci pintu dari dalam,'' kata Abu Bakar.
Seketika kemudian, jelasnya, lelaki itu berjaya membuka pintu bilik tersebut setelah berkali-kali mencuba. Dia mendapati mangsa berlumuran darah dan menjerit meminta pertolongan.
Norzi Ayu gagal diselamatkan selepas mengalami pendarahan yang banyak dan disahkan meninggal dunia di Hospital Kajang pada pukul 8.15 malam.
Ekoran kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun dan berasal dari Pasir Mas, Kelantan yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kes tersebut.
Beliau berkata, polis menahan lelaki itu di Hospital Kajang ketika dia melawat mangsa yang dirawat di situ.
Siasatan awal polis juga, katanya, mendapati lelaki tersebut merupakan kenalan kepada mangsa semasa sama-sama menuntut di UKM.
“Polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan adalah disebabkan perasaan cemburu di antara mereka.
“Suspek dipercayai mengikat mangsa dengan tali pinggang baju silat sebelum menikamnya dengan objek tajam,” kata Abu Bakar.
Bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Md. Noor, 52, berkata, anaknya telah lama mengenali lelaki itu semasa menuntut di UKM.
“Mereka merupakan kenalan malah bersama-sama menyertai pasukan Silat Gayung semasa menuntut,” katanya.
Sementara itu, polis meminta orang ramai yang mengetahui kejadian tersebut diminta supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-87362222 bagi membantu siasatan.
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 comments:
Post a Comment