Sinar Harian
21 Januari 2009
muka S22
BANDAR BARU BANGI -- Masih banyak organisasi mahupun individu yang giat menjalankan aktiviti kutipan dana bagi menghulurkan bantuan serta sumbangan kepada mangsa kekejaman Rejim Zionis di Palestin.
Sehubungan itu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Tabika Perpaduan Daerah Hulu Langat turut tidak ketinggalan menganjurkan program "Tabung Kemanusiaan Untuk Gaza" dengan tujuan membantu kanak-kanak Palestin yang telah menjadi mangsa peperangan.
Penolong Pegawai Perpaduan Kanan Daerah Hulu Langat, Nazliza Mohd Nazrin (warga Seri Tanjung 2-3-6) berkata, "Program kali ini telah mendapat penyertaan menggalakkan daripada 28 tabika dengan kehadiran seramai 800 murid berusia lima hingga enam tahun serta 56 guru.
"Setiap murid telah menderma sebanyak RM1, manakala RM50 pula didermakan daripada setiap kelas. Malah ibu bapa dan juga tetamu yang hadir turut menghulurkan bantuan mereka dan jumlah kutipan mencecah hampir RM3,000," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program tersebut yang diadakan di Lobi Pejabat Daerah Hulu Langat, semalam.
Hasil kutipan tabung tersebut telah diserahkan oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Hulu Langat kepada wakil Utusan Malaysia, Zuhayati Yazid dekat sini, semalam.
Menurut Nazliza, program ini juga merupakan salah satu sukatan mata pelajaran murid-murid melalui pendidikan moral di mana mereka akan lebih mudah untuk memahami apa yang dipelajarinya dengan mempraktikkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Beliau turut menyatakan bahawa melalui program ini juga murid-murid ini dapat menunjukan keprihatinan mereka terhadap nasib rakan-rakan lain seusia walaupun berbeza negara.

Kanak-kanak Tabika Perpaduan turut bersimpati dengan nasib
yang menimpa rakyat Palestin dengan menghulurkan RM1 setiap
seorang.